Wednesday, December 14, 2011

Yang kita tak mahu berlaku, rupanya ada kebaikan..

Mengambil peluang terlantar di atas katil berehat kerana virus flu, blog ni dapat dijengah. Dalam rumah ini, kalau ada sesiapa yang demam/batuk/selsema akan dikuarantin di satu bilik supaya tidak berjangkit terutama kepada abang anas. Apa lagi, bila kepala berdenyut, hidung tersumbat, asyik bersin.....semua kerja tak boleh buat. Bayangkan kalau berjangkit dengan anak yang sensitif? Kami dah fobia dengan hospital sebenarnya. Walaupun hospital adalah rumah kedua kami, tapi tetap fobia sebab trauma dengan pengalaman hampir lapan tahun yang lepas iaitu semasadi wad Mawar, IJN. Ini lah yang dikatakan sebagai PSTD - post traumatic disorder.

Dua hari lepas baru saja bawa abang anas ke HKL bertemu pakar neuro. Kali ini bukan berjumpa Dr. Khoo, tetapi Dr. Sheila. Adalah perkara yang biasa jika masa menunggu giliran bertemu doktor mengambil masa yang terlalu lama (biasanya kami tiba di HKL jam 10.00am, siap daftar dan timbang berat babang, ambil bacaan SPo2 dan nombor dipanggil jam 1.00 petang). Kadangkala terfikir 'kenapa tidak lagi efisyen sistem di sini sedangkan lagi berapa tahun saja lagi kita akan mencapai tahun 2020?' Tetapi kali ini malas nak berfikir demikian. Buat sakit kepala. Yang penting, belajar daripada pengalaman lepas apa yang perlu dilakukan pada masa ini. Ya, berdasarkan pengalaman lepas, babang pasti akan gelisah, diaper dah bocor, menjerit lapar. Kali ini, semua persiapan dah dibuat rapi. Pakaian spare, ada. Diaper XXL, ada. Bekalan makanan - oat, ada. Tisu basah, ada. Wah...penuh beg dengan peralatan babang anas.

Sambil menunggu giliran, papa sibuk membaca jurnal. Babang berangan, termenung, kadangkala menguap. Mama pula, ada masa sesuai sempat semak slaid pembentangan hasil kajian yang akan dibentangkan jam 2.30 petang itu di satu tempat di KL, semak proposal/tesis pelajar. Apabila mata letih, kami memandang orang sekeliling. Ada yang baby, ada yang baru setahun dua, ada yang lebih besar daripada babang. Keadaan kanak-kanak ini pastinya akan menyentuh hati siapa saja yang melihat. Sedangkan kami yang punya anak sedemikian juga berasa anak-anak kecil tu sangat istimewa dan kasihan pada keadaannya. Apabila memandang wajah ibubapa mereka juga, kami juga merasa simpati dan berdoa agar mereka menjadi tabah. Kerana ada juga ibubapa yang memangku anak bayi yang kami kira sama keadaannya seperti babang anas ketika bayi dulu. Ada ibubapa yang bersahaja, membaca akhbar, berfb, dan sebagainya. Kami pun dulu macam tu juga. Muka confident je anak akan normal seperti rakan-rakannya yang lain. Tetapi, sebenarnya jauh disudut hati hati ibubapa mana yang tidak tenteram dengan keadaan anak. Cuma kalau tahu keadaannya lebih awal, mungkin persediaan mental dan emosi lebih baik. Mama dan papa pun sangat seronok jika ada yang bertanya tentang rawatan dan penjagaan babang. Tujuannya untuk berkongsi. Tetapi yang tak seronok ialah bila ditanya "sakit apa anak?" "asalnya dulu macammana?"Hmm..soalan sejarah tak perlu tanya lah. Kadangkala kami rimas. tetapi bila mengenangkan "mungkin ibubapa yang bertanya cuba menilai pengalaman keadaan anak kami dengan anak mereka untuk tujuan sesuatu manfaat untuk anak mereka" maka terus kami senyum dan menjawab secara ringkas sahaja. Dalam pada bersembang dengan ibubapa (termasuk semasa di IJN bulan lepas), ada juga ibubapa yang bertanya "Eh, anak awak biasa saya lihat. Pernah masuk program TV ke?" Saya jawab "Oh, kami tak pernah masuk tv pun. Biasalah, kanak-kanak CP memang kelihatan agak sama saja fizikalnya"

Apabila saya fikir semula persoalan tu, saya pun teringat...oh lupa...mungkin ada yang menjenguk blog Dr. Anaziha...sebab terlalu sibuk. Dah lama tak update, mama pun dah hampir lupa tentang blog ni. Jadi, takdirnya malam ni allah beri masa kerehatan asbab daripada selsema dan resdung teruk maka dapatlah dibelek dan dicatat apa yang berlaku untuk dikongsi.

Bersambung balik cerita di HKL tadi. Rupanya, kali ni lain daripada biasa. Jam 12, nombor kami dah dipanggil. Jam 12.30, ubat dah ready dan selesai semua. Masalah parking tak timbul, sebab ada parking khas untuk OKU. Kami hanya guna sticker OKU untuk parking jika membawa babang sama. Jika tidak, kami tidak sewenangnya menggunakan parking OKU. Ini etika yang tidak boleh kompromi. Alhamdulillah, jam 2.30 dapat hadir sesi pembentangan walau agak lewat disebabkan jalan jammed (Selangor cuti pada masa itu) dan laporan mama dan pasukan kajian diterima. Malamnya dah rasa kepala berdenyut, mungkin keletihan sebab sejak dari awal tahun 2011 ini mama bekerja 7 hari seminggu. Hari ini kemuncak rasa tidak selesa dan ini lah, hasilnya. Dapat buat catitan dalam blog ini. Kadangkala 'perkara yang kita tak mahu berlaku tu rupanya beri kebaikan yang kita tak nampak pun'. Hari ini pun mama balik lebih awal dari biasa dan dapat mengemas rak buku yang lama tak disentuh bersama pembantu peribadi - Kakak Neha.