Monday, June 24, 2013

Terbang di awanan

Hari ini 25 Jun 2013. Delisya genap usia 4 bulan. Anas pergi sudah 2 bulan 3 hari.

Hari ini mama terbang di awanan menuju negeri bawah bayu untuk kerja penyelidikan selama seminggu. Bulan ini bulan Syaaban dan 15 hari lagi Ramadhan. Bulan ini juga mama banyak meninggalkan anak-anak kerana tugasan penting.



Tentu kalian masih ingat catatan mama pada tahun 2009 lalu tentang musafir penyelidikan mama di Semporna, Sabah. Pada waktu itu seminggu mama di atas bot ke pulau-pulau kecil menghayati kehidupan komuniti Bajau Laut sambil terus mengingati kalian terutama Anas. Seperti selalu, salam sayang dan rindu mama pada kalian sentiasa di hati dengan Allah sebagai sandaran utama.

Jika dulu mama di atas lautan dilambung ombak ke sana ke sini dengan kadang terkena percikan air laut. Jauh di sudut hati sangat syahdu. Bagaimanakah keadaannya sekiranya mama dan papa pergi dahulu? Siapakah yang boleh menjaga kalian terutama Anas sepertimana mama papa menjaga kalian?
Musafir kali ini terasa lain. Anas sudah tiada. Anas sudah mendahului mama papa menemui Ilahi. Anas di dunia hanya amanah mama dan papa dari Ilahi. Dia sudah mengambilnya semula. Syukur, kami mempunyai anak-anak yang pasti tidak dihisab di padang masyar nanti. Yang mempunyai tiket vip ke syurga.

Persoalan mama kali ini, bagaimana kita menjalani kehidupan seterusnya supaya dapat bertemu Anas dan Farhan. Amat, kakak, Delisya...mudahan Allah bantu mama papa memimpin kalian menjadi anak soleh dan solehah. Mama kali ini balik outstation dah tidak harap dengar Anas sebut mama papa...tapi mama kali ni nak lihat Amat, kakak, Delisya terus ceria. Mama rindu kalian yang ada dan yang di barzakh.