Alhamdulillah, ambil kesempatan mengemaskini catatan Dr. Anaziha pada masa yang ada.
Kurang 20 minit untuk mencecah ke 12 malam. Anaziha semua dah tidur awal, jam 9 mlm tadi. Seperti biasa, kakak, che mat dan babang mahu dikeloni mama atau papanya.
Bibik cuti, balik Indonesia untuk urusan keluarganya di sana. Bibik dapat menantu baru.
Buat masa ini, jadual ketiga-tiga anak-anak ini seperti biasa. Cuma mama dan papa saja yang perlu bergilir mengurus kerja di rumah untuk amat dan babang (kakak sekolah). Tak perlu berkira tentang siapa yang masak, basuh baju, atau mandikan anak-anak sebab kami dalam rumah bekerja secara teamwork. Kebetulan, pada bulan Mei ini Malaysia banyak cuti am. Sedikit sebanyak banyak memberi manfaat pada kami sekeluarga.
Babang pada hari pertama dan kedua bibik tiada, asyik termenung. Makan sikit, tak mahu bercakap, tidur kadangkala nyenyak, kadangkala berjaga. Alhamdulillah, sekarang dah boleh sesuaikan dan lebih ceria bila sedar mama dan papa sentiasa ada secara bergilir menguruskan babang.
Kadang-kadang terfikir, bagaimana ada orang yang sengaja membazir masa (contoh; sikap suka berlengah, dan tidak serius dalam pekerjaan)? Kerana bagi kami sekeluarga, masa itu sangat berharga. Jika berjanji perlu tepati ikut masa dan waktu. Perlu laksana kerja dengan sebaik mungkin, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Kehidupan keluarga yang mempunyai ahli berpenyakit kronik seperti berjalan mengharungi jerangkap samar. Bila-bila masa saja boleh meledak.
Insya Allah, ada keizinan masa yang bersesuaian, hasrat hati ingin berkongsi hal pengurusan atau amalan harian mengurus anak berpenyakit kronik. Doakan kami sejahtera sentiasa. Anda juga kami doakan. Amin.