Monday, October 26, 2009

Bila waktu telah berakhir



Sebagai Penyelidik Sains Sosial, kerja lapangan perkara biasa. Penyelidik perlu berada di makmal semasa proses pengumpulan data. Di mana makmal Penyelidik Sains Sosial? Pentas dunia adalah makmalnya, dan manusia subjek analisisnya. Kadangkala (seringkali) walaupun tiada penyelidikan formal, tetapi 'research' sudah sebati dalam diri mama ANAZIHA ini.

Anak-anak, kenapa mama menulis tajuk ini? Ada cerita disebaliknya. Hanya satu rahsia mama ingin berkongsi.

"Dengan penyelidikan, kita dapat tahu banyak kebenaran". Sebab kita bercakap tentang sesuatu yang logik dan empiris. Bahkan dari hal sekecil seperti memilih kasut pun kita perlu melakukan sedikit kajian. Siapa yang nak guna kasut itu? Jenama apa? Kenapa pilih jenama ini? Apa beza dengan jenama lain? Untuk kegunaan apa? Bahan apa material kasut ini? Hinggalah hal sebesar-besarnya seperti hal kehidupan dan kematian.

Kenapa mama suka menyelidik?

Seronok bila melakukan penyelidikan. Membina proposal, melaksanakannya, menganalisis, melapor, membentang hasil. Asyik seperti seorang penari menari di atas pentas tarian, seorang chef handalan memasak di dapur sajian istana, dan seorang nakhoda di atas pelayarannya. Tetapi bukanlah syok sendiri yang dimaksudkan.

Bagaimana?

Bayangkan, hasil penyelidikan mama dapat menyumbang kualiti hidup 147,000 Orang Asli di Malaysia. Dengan penyelidikan juga, mama dapat menyumbang kepada kesejahteraan kanak-kanak (1/3 populasi di M'sia adalah kanak-kanak). Para nelayan, petani, bahkan bekas banduan dan penagih yang pulih punya rasa diterima masyarakat.

Tetapi hari ini mama rasa sangat sedih. Begitu ramai remaja terlibat kes delinkuen dan jenayah. Itu perkara biasa. Tapi salahlaku seksual? Kes buang anak dan remaja lahirkan anak luar nikah semakin meningkat saban hari. Dadah? Bayangkan, remaja ini suatu hari akan menjadi ibubapa. Bagaimana ibubapa pada masa akan datang? Dan anak-anak yang dilahir itu pula akan menjadi remaja. Bagaimana dunia akan datang? Sedang yang mengaji agama pun banyak juga terbabas.

Ya. Kadangkala research ada honorariumnya (jika konsultansi) dan KPI. Dan ada juga penyelidikan fisabilillah (tidak mengharap ganjaran $$ dan pangkat). Yang ini biar Allah yang bayar kerana ganjaran Allah beri lebih besar daripada yang manusia beri. Pilihan yang kedua ini adalah yang terbaik. Mudahan ada sesuatu yang boleh kita lakukan untuk menyelamatkan generasi masa hadapan. Marilah kita mulakan dengan diri kita. Kita menyelidik "Dari mana kita datang. Dimana kita sekarang. Dan kemana selepas ini."

Semasa mama menjadi Peg. Penyelidik dahulu, mama banyak out-station. Babang selalu terpaksa ditinggal. Kali pertama pengumpulan data di Sik, Kedah, sebaik sahaja kereta diparkir kediaman, mama dapat panggilan daripada papa babang demam panas. Hendak pulang semula? Letih, drive non stop dari KL ke Sik. Babang di Melaka bersama papa. Tawakal. Papa kata teruskan kerja. Kajian perlu diteruskan.

Kakak pula membesar sejak dari kandungan hingga lahir, bersama aktiviti penyelidikan. Mungkin kerana itu, nampak lain sedikit daripada kanak-kanak seusia dengannya. Jumpa kanak-kanak asli, kakak rasa seronok jumpa kekawan.

Zafran pula, seusai lahir saja bertubi-tubi sms tentang research. Bahkan tidak sampai 8 jam melahirkan Zafran, meeting penyelidikan dijalankan diwad hospital! Cuti bersalin? Rasanya tiada walaupun ada.

Hmm..itu semua cerita ceriti mama sepanjang menjadi researcher. Entah kenapa, mama memilih untuk menulis cerita ini sedangkan boleh memilih untuk tidak menulis.

Jawapannya: disudut hati ada banyak rahsia.

No comments: