Monday, December 16, 2013

Memori 2012

'Assalamualaikum babang..' ucapan yang biasa hari2 selama 9 tahun mama ucap tiap pagi ketika bangun tidur dan petang balik kerja. Orang pertama yang mama lihat, jumpa dan cium pasti babang.

Sekarang babang sentiasa dalam ingatan mama cuma tak boleh lihat, pegang dan cium. Kadangkala jika terlalu rindu mama mohon pada Allah. Dan Allah Maha Pemurah...tak pernah menghampakan mama. Beberapa kali mama telah mimpi bertemu babang yg selalunya nampak lena. Alhamdulillah. Allah menjaga babang lebih baik daripada mama. Kerana inilah mama rasa senang hati dan tak risau tentang babang di sana. Kami cuma rindu saja. Ini antara sebahagian kenangan kita. Kali terakhir kita bercuti di Cameron Highland. Nampak situ ada bibik marsila.




Monday, October 28, 2013

Belum ok

Hari teringat babang. Mama kuat..tapi tak bererti tak boleh menangis. Begitu juga kak neha, Amat dan papa. Emosi kita semua belum stabil lagi.

Orang nak kata apa...kata saja lah

Hari ni genap 6 bulan 7 hari babang pergi. Ada yg kata pada mama ...jangan dikenang orang yg dah tak ada. Hmm...peduli saja apa org nak kata. Mama tetap sentiasa ingat dan rindu babang. Setiap hari kami sekeluarga sembang pasal babang. Seolah babang masih ada. Kadangkala, Amat akan tanya mcmana bunyi babang ketawa...kami sama2 akan cuba lakonkannya.

Semakin lama mama dan papa semakin rindu sebenar nya. Dan terasa sangat utk ziarah mekah dan madinah. Terasa babang dan farhan ada di sana semacam memanggil2 kami. Tunggu ya...mama papa n adik2 akan datang juga.

Friday, October 11, 2013

Cuti di Cameron Highland



Tahun ni cuti kami di Century Pines Hotel, Cameron Highland. Depan hotel adalah taman awam. Sebelah hotel pula MARDI. Jalan kaki sikit ke kanan...kedai2 makan n cenderahati. Kenapa di sini?

Sebenarnya CH tempat percutian kami sekeluarga jika ada masa lapang dengan arwah babang dulu. Kali pertama datang sini, babang umur 7 bulan. Menginap di Strawbery Park. Ceria n seronok babang. Kami pun seronok. Arwah suka buah yg masam2 mcm strawberry.

Kali akhir setahun lepas. Arwah sangat seronok n sporting. Kami ke MARDI, ladang teh, pasar brinchang, dan balik berhenti di lata iskandar. Jadi, tahun ni..kami pergi lagi menjejak kenangan tempat yg pernah bersama arwah. Hati memang sayu... lebih2 lagi dlm kereta tiba2 Amat berkata '...kenapalah babang meninggal dulu..' Tersentak kami..bik baini hampir menangis...'Allah lebih sayang babang dari kita. Allah ambil kerana babang istimewa sangat. Untuk tunggu kita disyurga. Di dunia dia sudah puas menderita...' Panjang pulak bibik berpendapat. Tak tahu Amat faham atau tidak. Yg penting..semua org memang sayana arwah.

Kali ni pun kali pertama Delisya datang ke CH. Jom kita bercuti..

Tuesday, September 3, 2013

Rindu takkan hilang

Dah tak kira hari ke berapa Babang Anas pergi. Yang mama tahu kami sangat rindukan Babang. Hari-hari mama semakin sibukkan diri kerja agar tak terasa sangat Babang dah tiada. Hari ni mama terbang lagi ke Sabah. Mama ke semporna urusan kerja. Tiga jam dlm flight... nampak awan, laut, daratan daripada pandangan atas. Lagi jauh mama pergi, lagi rindu pada semua.

Kalau diizinkan ada kelapangan masa mama dan papa nak tempah nisan baru dan kepuk utk babang dan abang farhan. bukan untuk apa...nisan babang perlu ditukar, kepuk pula utk elak laluan air. Mama papa jauh tak boleh ziarah selalu..

Wednesday, August 14, 2013

Beraya bersama anak-anak

7 Syawal, kami beraya di Kidzania. Asalnya semalam Amat dan kakak Neha bising mama dgn papa asyik 'work' saja. Kata Amat "kenapa mama tak cuti? Rugilah Amat kalau mama kerja..." Kakak pula dah masam muka je nak ke kidzania. Ni dpt cerita drp kawan-kawan di sekolah lah ni. Okey...mama pun browse www.kidzania.com. my.

Study kandungan game/aktiviti. Kebanyakan adalah aktiviti bentuk pendidikan dan perkembangan sosio emosi anak. Tiket kami tempah online rm60/kanak2; rm35/dewasa; rm0/bayi. Total rm192 termasuk charge tambahan rm2. Alhamdulillah, dari enstek 8.30am. Jalan jem. Tiba di kidzania tepat jam10am. Mujur Acik, pak anjut, pak an dan atok dah sampai dulu dan beratur utk kami. Ini sebahagian aktiviti mereka...

Saturday, August 10, 2013

Syawal pertama tanpa babang

Salam..
Tahun ni syawal pertama tanpa babang Anas.
Mama tak sabar nak balik kampung ziarah pusara Anas dan Farhan. Alhamdulillah, cantiknya keadaan pusara Anas. Tanah tak pernah mendak walaupun dekat dengan laluan air. Semalam mama dah bagitau papa niat mama nak letak kepuk di pusara kalian. Tujuannya supaya laluan air tak jejas pusara Anas. Tengoklah nanti mama papa jumpa yg sesuai kami tempah bersekali dgn nisan baru (ganti papan).

Semalam pun mama rindu sangat babang. Alhamdulillah, dapat mimpi Anas dan dapat cium. Allah kan Maha Pemurah. Dia akan beri apa yg kita minta. Yakin pada Nya. Mama cium Anas. Anak mama tidur lena. Mama tak risau..Anas Allah yang jaga.



Salam aidilfitri..

Monday, July 29, 2013

Hari ke 100

Menjelang 10 Ramadhan terakhir. Siangnya mama dan papa sangat sibuk dgn tugasan rasmi. Sebelum raya ada 2 laporan kajian perlu mama hantar. Mungkin dalam minggu ni ada hari tertebtu yang mama perlu bermalam di hotel utk bengkel siapkan tugasan.

Balik rumah mlm tadi mama kira dalam kalendar ..rupanya hari ni hari ke 100 babang dah meninggalkan kita! Cepatnya masa berlalu. Tak terasa. Macam baru saja mama peluk babang anak yang hensem ni.

Sahur tadi kakak ada ingatkan. Raya ni jangan lupa ziarah pusara. Hm..memang sejak dari dulu lagi (9 thn lepas) mama papa ziarah pusara jika ada kelapangan sebab abg farhan. Kali ni ada 2 pusara nak pergi. Pusara abang Anas berdekatan pusara abg Farhan. Mama tak sabar nak siapkan kerja, kalau boleh masa dan hari di pendekkan, nama nak gulung bagi pendek supaya cepat dpt ziarah 2 pusara ni ...

Kakak, Amat, Delisya; raya ni kita lama sikitlah di Johor. Kita round satu Johor ziarah saudara mara...

Friday, July 26, 2013

Hari ke 95...

Diam tak diam dah 95 hari Anas pergi. Dua minggu lagi aidilfitri. Kami tak sabar nak balik kampung ziarah pusara 2 putera; Anas dan Farhan. Tak tahulah raya ni macammana gayanya. Neha n Amat pasti seronok main bunga api. Delisya pula ini raya pertamanya. Mama dan papa hanya ikut anak2. Yang dah tiada dirindui. Yang masih ada disayangi. Hati sentiasa hiba. Selalunya dgn cara sibukkan diri bekerjalah bantu mama gagahkan diri tidak terlalu berduka. Hari ni cuti nuzuk quran. Buat kerja di rumah. Terdengar2 suara Anas main2 di ruang tamu. Berat juga ujian...

Sunday, July 21, 2013

Tak perlu risau

Beberapa hari ini, mama berasa damai bila teringat babang Anas. Alhamdulillah, Anas sudah selamat di sana bersama jagaan Nabi Ibrahim a.s. Terima kasih Allah yg menjemput anak kami dengan penub kelembutan dan kemuliaan. Selama 9 tahun 43 hari Anas di dunia. Banyak sungguh kesakitan yg kami lihat pada Anas. Alhamdulillah sekali lagi, pada hari Anas ingin pulang..Anas sangat ceria dan pergi dengan tenang. Kali akhir mama mimpi Anas beberapa minggu lepas. Anak mama memakai pakaian yg sangat indah...mama diberi peluang memeluk Anas dan saat itu mama tahu, 'tak perlu risau Anas di sana. Allah menjaga Anas lebih baik drp penjagaan mama dan papa. Sesungguhnya Allah sebaik2 pemelihara'. Sabtu lepas, alhamdulillah..kuburan Anas kami ziarahi..terasa damai. Bahagialah anakku di sana. Kami akan menyusul suatu masa nanti.

Wednesday, July 17, 2013

Tuesday, July 9, 2013

Salam Ramadhan

Tahun pertama Ramadhan tanpa tuan putera di sisi. Terasa lain. Bahagialah di sana tuan putera bersama abang Farhan. Ramadhan kali ni suasana semua baru tapi mama papa tetap teruskan rutin harian Ramadhan. Sementara papa dan Amat bertarawikh, mama dan kakak akan bertadarus sebelum menidurkan Delisya sambil mendengar radio ikim. Begitu juga dari waktu sahur hingga ke imsak. Mama
sentiasa dengar radio ikim sepertimana mama dulu byk habiskan waktu dgn babang. Walaupun mama dan papa sangat sibuk, pusara kalian akan kami ziarahi. Jika dulu hanya 1 pusara kami ziarah. Tahun ni ada 2 pusara istimewa hendak diziarah.

Ada juga suara2 yang tak suka mama asyik teringat babang. Mungkin dia takut mama bersedih. Pedulilah apa orang lain nak kata. Mama malas nak layan. Sebenarnya, mengingatkan anak yg telah tiada semakin mengingatkan mama tentang kematian. Sangat bahagianya mati sebagai hamba yang Allah sayang. Bila teringat anak2 yg masih ada semakin menguatkan tekad mama utk menyediakan keperluan dunia dan akhirat mereka supaya jadi anak2 yg soleh solehah dan berbakti pd agama.

Sekarang sudah masuk waktu imsak. Ok, mama nak bersedia utk subuh. Salam sayang utk anak-anak yg tiada dan yg masih ada.

Monday, June 24, 2013

Terbang di awanan

Hari ini 25 Jun 2013. Delisya genap usia 4 bulan. Anas pergi sudah 2 bulan 3 hari.

Hari ini mama terbang di awanan menuju negeri bawah bayu untuk kerja penyelidikan selama seminggu. Bulan ini bulan Syaaban dan 15 hari lagi Ramadhan. Bulan ini juga mama banyak meninggalkan anak-anak kerana tugasan penting.



Tentu kalian masih ingat catatan mama pada tahun 2009 lalu tentang musafir penyelidikan mama di Semporna, Sabah. Pada waktu itu seminggu mama di atas bot ke pulau-pulau kecil menghayati kehidupan komuniti Bajau Laut sambil terus mengingati kalian terutama Anas. Seperti selalu, salam sayang dan rindu mama pada kalian sentiasa di hati dengan Allah sebagai sandaran utama.

Jika dulu mama di atas lautan dilambung ombak ke sana ke sini dengan kadang terkena percikan air laut. Jauh di sudut hati sangat syahdu. Bagaimanakah keadaannya sekiranya mama dan papa pergi dahulu? Siapakah yang boleh menjaga kalian terutama Anas sepertimana mama papa menjaga kalian?
Musafir kali ini terasa lain. Anas sudah tiada. Anas sudah mendahului mama papa menemui Ilahi. Anas di dunia hanya amanah mama dan papa dari Ilahi. Dia sudah mengambilnya semula. Syukur, kami mempunyai anak-anak yang pasti tidak dihisab di padang masyar nanti. Yang mempunyai tiket vip ke syurga.

Persoalan mama kali ini, bagaimana kita menjalani kehidupan seterusnya supaya dapat bertemu Anas dan Farhan. Amat, kakak, Delisya...mudahan Allah bantu mama papa memimpin kalian menjadi anak soleh dan solehah. Mama kali ini balik outstation dah tidak harap dengar Anas sebut mama papa...tapi mama kali ni nak lihat Amat, kakak, Delisya terus ceria. Mama rindu kalian yang ada dan yang di barzakh.


Thursday, May 30, 2013

Hari ke 40

Assalamualaika wahai anakku Muhammad Nazhan. Yang selalu mama panggil namamu sebagai Anas iaitu teman ketika mama suka dan duka suatu masa dahulu, yang mama selalu sebut sebagai Tuan Putera kerana Anas anak istimewa. Yang glamour dgn nama Babang panggilan drp adik-adik yg dahulu masih pelat utk menyebut abang.

Hari ini genap 40 hari Anas pergi. Alhamdulillah, adik Amat dah boleh menyesuaikan diri. Awal-awal dulu dialah yg selalu moody dan menangis kerana rindu Anas. Kakak pula mama tak tahu sebab dia suka sorok perasaan. Tapi, minggu lepas ketika mama betulkan zip beg kakak, mama jumpa frame gambar babang. Hari-hari, mama, papa dan kakak seusai solat maghrib akan bertadarus sejak babang pergi. Kami semua terlalu rindu.

Hari ni hari ke 40. Esok kami nak ziarah pusara babang Anas dan Ahmad Farhan. Mudahan rindu akan terubat. Bila tiba masanya kita berjumpa nanti, kalian janganlah seronok sangat dgn nikmatnya syurga hingga lupa kami...

Monday, May 6, 2013

Masih terasa

Hari ini 6 Mei 2013. Sudah 2 minggu Babang pergi. Famili DeAnaziha masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya. Ibarat luka yang baru dibalut. Rasa berdenyut masih lagi terasa. Semalam, ketika beli barang basah di pasaraya Zemart..mama rasa sebak bila melihat ikan-ikan yang biasa mama beli utk lauk babang; bawal, ikan merah, ikan ayam. Memang susah nak biasakan diri rupanya walaupun ilmu psikologi ada di kepala. Sebab fitrah manusia biasa. Kita memang sangat sedih kerana rasa kehilangan. Rasa sangat rindu untuk peluk dan cium babang. Bukanlah kita melawan takdir, tapi nabi pun pernah merasa sedih kerana pemergian anak-anak baginda.

Manakan boleh lupa. Setiap pagi, selesai solat subuh mama akan bergegas turun tangga dan mencari babang di bilik, "bik, tengku putera dah bangun?". Soalan lazim kepada bibik. Sambil babang menjeling dan kadangkala menggeliat... mama akan ucap "AsSalamualaikum babang...".


Apabila hendak keluar kerja, kita semua akan cium babang. Mama akan cium dahi babang hingga babang rimas... balik kerja pun sama. Orang pertama yang kita caripasti babang. Dan waktu malam, aktiviti kita adalah mendengar ikim atau menonton tv di sebelah babang. Babang memang tak pandai cakap. Tapi dia sangat manja dan suka bila kita sembang dan bercakap dengannya. Apalahi kalau dipeluk. Pasti babang akan mendiamkan diri hingga tertidur.

Sekarang tiada lagi aktiviti umpama itu. Memang kita semua merindui babang Anas. Selalu didalam doa mama mohon "Ya Allah, sampaikan salam rindu kami pada Babang Anas. Beri kami kekuatan hidup tanpa Babang di duniaMu..."

posted from Bloggeroid

Thursday, May 2, 2013

Serupa tapi x sama


posted from Bloggeroid

21 April 2013

Sudah seminggu Babang pulang ke dunia yang abadi. Allah itu Maha Adil, Maha Bijaksana. Kita merancang, tapi perancangan Allah lebih sempurna. Dia beri Delisya pada kita, dan pada 21 April 2013..ketika Delisya genap 2 bulan, Dia mengambil semula hakNya yang diamanahkan pada mama dan papa. Babang telah pergi meninggalkan kita dengan tenang. Syukur pada Allah memberi peluang kepada kita menyelusuri kehidupan ini selama 9 tahun 1 bulan bersama Babang. Tak sedikit rasa susah atau marah, bahkan semakin hari semakin sayang. Semakin dicium semakin harum. Mama dan papa tak pernah jemu mengharap babang boleh menyebut 'mama', 'papa' dan berjalan seperti adik2 nya yang lain. Hingga kini tak pernah jemu. Insya Allah, babang akan sebut dan berlari menemui kita suatu masa nanti di taman syurga. Syaratnya...semua kenalah jadi soleh dan solehah. Kalau tidak, babang dgn abg Farhan malu juga nak 'defend' kita...ingat tu..kakak, Amat, Delisya.

posted from Bloggeroid

Tuesday, April 30, 2013

Hijrah abadi

Bila dikira, sudah 3 kali kita semua pindah rumah demi keselesaan babang. Dari apartment terus sewa rumah landed. Kerana niat utk buat bilik air khas utk babang, terus dapat beli rumah baru berdekatan rumah sewa. Pertama yg papa buat ialah bilik air dan bilik babang. Dari rumah tengah, pindah ke rumah tepi dgn niat babang tak bosan di kelilingi taman dan ruang aktiviti babang waktu siang lebih luas dan terang berdekatan pintu tepi dan juga taman khas. Semua ini rezeki.

Cuma...sekarang babang sudah pindah lagi. Bukan bersama mama, papa dan adik-adik. Tapi seorang diri. Babang hijrah ke dunia abadi pada 21 April 2013 jam 8.30am di hadapan mama, papa, atok dan bibik...

Monday, March 18, 2013

Hijrah 1

Hijrah..satu pengorbanan.
Alhamdulillah, setelah hampir 4 bulan kami berhijrah dari Selangor ke Negeri Sembilan banyak perubahan yang berlaku hikmah penghijrahan ini. Sebenarnya ini kali yang ke 3 penghijrahan tempat kami bermastautin.
Kali pertama dari rumah pertama kami di apartment di suatu kediaman yang damai. Memang seronok kejiranan dan suasana tempat tinggal di Bandar Seri Putra. Apartment yang kami beli pun bertujuan untuk anak-anak kerana kelengkapan kemudahannya termasuk kolam renang. Kami merancang, Allah juga merancang dan pastinya perancangan Allah lebih baik dari segalanya. Walaupun ada kemudahan yang baik, tapi seakan trauma buat kami kerana setiap kali melihat kanak-kanak bermain di taman permainan dan berenang di kolam renang, hati menjadi hiba bila menihat keadaan Anas. Tambahan pada waku itu Papa Aamas bekerja di Melaka dan hanya Mama, Anas dan bibik di rumah. Papa akan balik pada hujung minggu. Bermakna, Mama yang menguruskan segalanya dan masalah timbul kerana pada masa itu sangat kerap Anas perlu dirujuk ke Hospital. Kadangkala, peralatan kelengkapan Anas sampai tertinggal dalam lif! Nasib baik bukan Anas yang tertinggal. Pasti orang akan sangka dan tertanya 'Siapalah yang sanggup buang anak?' Masalah seterusnya ialah tentang bibik. Bercakap tentang bibik, rasanya memang kami boleh buat novel. Boleh dikatakan setiap tahun kami bertukar bibik. Jangan ditanya dari mana kami dapat menampung kos tersebut, sebab hingga kini kami pun tak menyangka dari mana semua itu? Jawapan yang tepat ialah, 'rezeki Allah yang beri'. Kami hanya pemegang amanah. Perkara yang menyebabkan kami berpindah yang seterusnya ialah rasa tidak percaya meninggalkan anak-anak bersama pembantu rumah. Pernah sekali mama batal solat subh sebab terdengar jeritan Anas. Mama lihat anas menggelupur dan mata ke atas, sambil bibik tua menutup hidung babang Anas dan memaksa babang minum susu menggunakan sudu. Lantas, secara spontan mama menepis tangan bibik tua dan hampir menendang bibik itu. Allah Maha Pengasih, Babang Anas selamat. Tapi peristiwa ini menggerunkan mama dan tidak pernah lupus dari ingatan. Begitulah, ujian kami ...satu demi satu..dan tak perlulah dicerita lebih terperinci di sini. Semua ujian ini semakin menguatkan dan mendekatkan kami pada Allah maha Pencipta kerana Dialah yang Maha Pelindung dan Maha Segalanya. Dialah tempat terbaik untuk mengadu dan meminta.

Setelah mempertimbangkan segala kemungkinan dan risiko yang sedia ada, kami akur bahawa perlunya hijrah. Meninggalkan rumah pertama yang dibeli dengan semangat dan keazaman serta angan-angan pertama kali memiliki kediaman sendiri untuk membina keluarga, bukanlah suatu perkara yang mudah. Tapi kami terpaksa juga hijrah untuk kebaikan dan keselamatan yang lebih terjamin. Kami pindah dan menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan tempat kerja Mama dan rumah kami yang ada kami sewakan. lagipun rumah yang kami sewa sangat dekat dengan rumah abang kandung Papa yang isterinya anak-anak kami panggil sebagai 'ibu'. Kebetulan ibu seorang suri rumah sepenuh masa. Bolehlah bantu memantau anak-anak dan bibik di rumah sementara mama bekerja dan papa di Melaka.

...bersambung.

Wednesday, March 13, 2013

Selamat datang wahai Puteri ke 2…


Farhah Delisya
ANAZIHA bertambah berseri dengan kelahiran Puteri kedua iaitu Farhah Delisya pada 25 Febuari 2013. Ahlan wa sahlan duhai anakanda. Kelahiranmu dinanti. Moga membesar sebagai mujahidah..Untuk itu, secara rasminya, mama dan papa tukar ANAZIHA kepada DeAnaziha sempena nama kesemua putra-putri kami. Sayang selalu.